Kapal tangki ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen untuk bersauh.

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen untuk bersauh, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal yang didaftarkan di Thailand itu ditahan dalam satu operasi pada jam 10.30 pagi di kedudukan 8.3 batu nautika timur Tanjung Siang di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati kapal tangki berkenaan tiba di perairan negara pada 6 November lalu, namun gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Laut Malaysia untuk bersauh.

“Ketika ditahan, kapal tangki ini dikendalikan oleh 14 kru kapal dan nakhoda warga negara Thailand yang berusia lingkungan 25 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut ke atas kru kapal tangki berkenaan mendapati kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah, ujarnya.

“Maritim Malaysia kemudiannya membawa nakhoda kapal dan ketua jurutera kapal berkenaan ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk membantu siasatan. Kes di siasat mengikut Seksyen 49(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Justeru, kami mengingatkan kepada semua pihak terutama pemain sektor perkapalan untuk peka mengenai perkara ini kerana Maritim Malaysia Johor tidak akan berkompromi dalam memastikan perairan negeri ini bebas daripada sebarang pencerobohan,” katanya. – MalaysiaGazette