KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia meningkat 0.2 peratus kepada 110.5 berbanding 110.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor utama yang menunjukkan peningkatan ialah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (1.1%), kesenian, hiburan & rekreasi (1.1%), pendidikan (0.3%), aktiviti hartanah (0.2%) dan kesihatan (0.2%).

Bagaimanapun, indeks untuk subsektor pengangkutan menunjukkan penurunan 1.0 peratus.

Indeks Profesional dan Maklumat & Komunikasi kekal tidak berubah.

”Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus. Peningkatan ini disumbangkan oleh dua subsektor iaitu pengangkutan (0.3%) dan penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (0.1%).

”Indeks Kesenian, Hiburan & Rekreasi menurun sebanyak 0.1 peratus manakala subsektor berikut kekal tidak berubah iaitu Mmaklumat & komunikasi, aktiviti hartanah, profesional, pendidikan dan kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette