Calon Perikatan Nasional N.02 Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersemangat selepas melihat carta pecahan pengundi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Beberapa jam selepas Barisan Nasional (BN) hari ini  mengumumkan akan membentangkan manifestonya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu ini – Perikatan Nasional (PN) dikhabarkan akan membuat perkara sama pada Jumaat depan.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu akan diumumkan pucuk pimpinan PN.

PN bersama-sama BN dan Pakatan Harapan (PH) bertindak meletakkan calon di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka yang melalui proses penamaan calon hari ini.

 

Calon Perikatan Nasional N.02 Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tengah) membuat persediaan dan perbincangan bersama jentera-jentera PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2021.

Ditanya mengenai manifesto khusus untuk pengundi Tanjung Bidara, Mas Ermieyati berkata, manifesto itu sudah dalam peringkat draf terakhir untuk dibentangkan kelak.

“Saya sebagai calon di Tanjung Bidara juga ada komitmen saya dan perkara yang ingin saya lakukan pada pengundi-pengundi di sini sekiranya saya dipilih.

“Saya sedang dalam proses draf terakhir dan saya akan umumkan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, larangan untuk mengadakan kempen secara bersemuka tidak mendatangkan masalah kepada pergerakan jentera pilihan raya beliau.

Jelasnya, terdapat pelbagai cara untuk beliau guna bagi mendekati pengundi walaupun tidak dibenarkan untuk mengadakan kempen secara bersemuka.

“Saya kira dengan adanya elemen baru pada hari ini ia dapat memberikan satu nafas baru dan satu pendekatan baru supaya pada hari ini kita jangan memandang rendah lagi bukan hanya medium baru ini hanya untuk anak muda sahaja tetapi kita pun boleh guna pakai kerana pandemik ini yang menjadikan warga dewasa menggunakan sosial media sebagai bahan hiburan dan mendapatkan maklumat.

“Apabila kempen secara bersemuka tidak boleh, calon kena menggunakan pelbagai pendekatan termasuklah dengan video pendek untuk memberikan pengenalan diri sebagai calon,” katanya lagi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh hari mengumumkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Abdul Ghani meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka dan ia telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Turut dilarang semasa PRN Melaka adalah kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. – MalaysiaGazette