Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (tengah) melambai sambil diiringi pencadang dan penyokong ketika hadir bagi menghantar borang pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Penamaan Calon N.02 Tanjung Bidara di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Pengundi khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara boleh menilai parti mana yang boleh menjaga rakyat serta mandat yang akan diberikan mereka.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN itu, Datuk Ab Rauf Yusoh, beliau mengalu-alukan pertandingan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara antara beliau dengan bekas anak buahnya, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

“Saya mengalu-alukan pertandingan (tiga penjuru) ini dan ia merupakan satu pertandingan yang sihat bahawa pertanding ini merupakan satu pertandingan diantara parti,” katanya pada sidang media di kediaman beliau, hari ini.

Selain Ab. Rauf dan Mas Ermieyati, perebutan kerusi DUN Tanjung Bidara turut disertai calon PKR, Zainal Hassan.

Ditanya sama ada Mas Ermieyati akan memberikan saingan sengit, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, beliau terbuka untuk mendapatkan tentangan daripada mana-mana pihak.

“Saya tidak kisah siapa pun yang datang bertanding dengan saya walaupun orang menganggap bahawa pertandingan ini antara sifu dan anak buah tetapi saya anggap ini adalah pertandingan sebuah perjuangan yang mana parti yang dilihat lebih berprinsip akan dipilih oleh rakyat.

“Saya tidak melihat ini sebagai satu cabaran yang besar pada saya,” katanya. – MalaysiaGazette