Tangkap layar menunjukkan beberapa ketulan batu (dalam bulatan merah) dibaling ke arah sebuah kereta kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

ALOR SETAR – Polis Daerah Kubang Pasu membuka kertas siasatan berhubung kejadian baling batu ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jambatan Darulaman di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Berdasarkan rakaman melalui video dashcam yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp kita dapati beberapa ketulan batu dibaling dari arah jambatan hingga menyebabkan bahagian hadapan sebuah kenderaan mengalami kerosakan.

“Kita sedang kenal pasti suspek yang terlibat termasuk menyiasat sama ada unsur khianat atau sebaliknya.

“Pihak polis memandang serius isu ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-9176999 untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang pemandu hampir terbabas apabila kereta yang dipandunya dibaling beberapa ketulan batu ketika melalui kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast