Calon N07 Gadek, P Shanmugam.

AYER KEROH – Siapa lagi yang layak untuk dipertaruhkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek N07 oleh MIC jika bukan P. Shanmugam?

Malah calon itu bukanlah asing di Melaka malah pernah menjawat jawatan pegawai khas kepada Menteri Besar Melaka satu ketika dahulu.

MIC bukan sahaja teruja dengan calon mewakili parti terbesar India dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebaliknya cukup yakin kemenangan juga bakal berpihak kepada mereka.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran berkata, Shanmugam mempunyai pengalaman luas dalam mendepani rakyat di negeri lebih daripada 20 tahun.

Malah Shanmugam yang pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda MIC Melaka sehinggalah di angkat ke Ahli Majlis Tertinggi Pusat (CWC) dan kini Ketua Bahagian Kota Melaka sememangnya seorang yang aktif sejak muda lagi.

Vigneswaran cukup yakin dengan imej bersih serta kredibiliti yang dimiliki oleh calon tunggal MIC di Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-15 ini.

“Kalau hendak bercakap tentang Shanmugam atau Shan ini memang terlalu banyak, beliau bukan muka baharu atau payung terjun MIC yang diletakkan pada PRN kali ini. Bukan hendak bercakap besar tapi sememangnya beliau ada peluang dan calon kita yang mempunyai faktor ‘wow’.

“Pengalaman beliau memang banyak sekali, dari menerajui jawatan parti sehinggalah di pejabat mantan Menteri Besar, beliau cukup arif. Malah beliau juga merupakan Pengerusi Sabahat Negeri Melaka yang sememangnya memainkan peranan besar terutamanya dalam memartabtkan golongan muda.

“Kelebihan beliau juga dirinya bukanlah asing dalam kalangan pengundi dan penduduk pelbagai latarbelakang di Gadek atau seluruh negeri ini, khidmat dan jasa serta sumbangan kita terjemahkan dengan meletakkanya sebagai calon. Kita biar pengundi buat keputusan.

“Tetapi buat MIC, beliau adalah calon terbaik dan winnable candidate serta seseorang yang cukup memahami aspirasi warga Gadek malah membawa arus perubahan, kita tunggu lihat kelak,” katanya lagi.

S.A Vigneswaran

Dalam pada itu, Vigneswaran juga yakin komponen BN bakal meraih kemenangan pada PRN ini walaupun berdepan dengan persaingan sengit kerana tegas beliau pengundi semakin celik dan ‘kenal’ siapakah sebenarnya pemimpin yang mampu menjaga kebajikan mereka.

Pada 2018 MIC gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas calonnya P Panirchelvam kalah kepada Saminathan dengan hanya majoriti 307 undi dengan seramai 12,922 pengundi berdaftar di DUN berkenaan ketika itu.

Shanmugam akan berdepan dengan enam penjuru dengan antara pesaingnya, penyandang G Saminathan (DAP PH), Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu PN), Laila Norinda Maon (Putra), Azafen Amin (Bebas) dan Mohan Singh (Bebas).

Untuk makluman, Shanmugam yang merupakan seorang usahawan dan ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari North Borneo University College juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Belia Negara.

Pada PRN kali ini, BN telah menampilkan 28 calon sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri terdahulu. – MalaysiaGazette