Calon Barisan Nasional DUN N.24 Bemban Datuk Koh Chin Han hadir pada sidang media isu berkenaan lompat parti politik di Bilik Gerakan Utama MCA, World Youth Hotel Ayer Keroh, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, sebaliknya mahu memberi kestabilan politik dan ekonomi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Koh Chin Han berkata, hanya dengan kestabilan politik boleh mengembalikan keyakinan pelabur untuk membawa masuk pelaburan berjumlah berbilion ringgit ke negara ini.

“Kita perlukan satu politik yang stabil dan kuat dengan mandat kuat, dengan itu kita boleh bawa lebih banyak pelaburan.

“Pelabur dalam mahupun luar negara akan memilih sebuah negara atau negeri yang stabil politiknya.

“Disebabkan politik yang stabil itu barulah polisi dan dasar yang dibuat itu kukuh,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA di Hotel World Youth di sini, hari ini.

Chin Han berkata, tanpa politik stabil terutamanya ketika 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pendirian kerajaan yang berubah-ubah hanya menakutkan pelabur.

“Kalau kita lihat selepas PH mengambil alih pada 10 Mei 2018 sehingga berlaku pergelutan dalaman hingga menyebabkan mereka tumbang.

“Kalau kita lihat, apa yang mereka lakukan, mereka cuma sibuk siapa nak jadi Perdana Menteri, antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semua itu ketepikan kepentingan dan kebajikan rakyat, pada waktu itu semua pihak merasai kesengsaraan itu.

“Kalau tidak (stabil) ia akan berganti bertukar-tukar dan keputusan pula akan flip-flop, orang tak yakin, akibatnya pelabur takkan datang,” katanya. – MalaysiaGazette