Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Johor Bharu hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang dikatakan dalang kes ugut melibatkan Timbalan Pengerusi MCA yang juga Biro Pengaduan Awam MCA Johor Kulai akan dituduh di Mahkamah Majistret Kulai esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun.

Katanya, ekoran kes itu, pihaknya  menahan empat suspek termasuk dalang kejadian ugutan dan menyimbah cat merah di kediaman Chua Jian Boon pada 23 September lalu.

Penahanan kesemua suspek  lelaki tempatan itu dilakukan menerusi serbuan berasingan pada 27 Oktober dan 31 Oktober.

“Bertindak hasil risikan, polis telah menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun dalam serbuan di tiga premis di kawasan Permas Jaya dan Taman Setia Indah di sini yang kita percaya mempunyai kaitan dengan kejadian khianat terhadap seorang ahli politik di negeri ini.

“Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 34 tahun yang kita percayai menjadi dalang dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor petang tadi.

Terdahulu media melaporkan kediaman Jian Boon disimbah cat dipercayai ekoran sidang media dilakukannya berkaitan kes pemerasan terhadap seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket ahlong sebelum itu.

Semakan rekod jenayah mendapati dua daripada suspek berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dadah.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek berusia 34 tahun itu polis turut menemui beberapa peralatan termasuk dua pedang samurai dan empat keping nombor pendaftaran kenderaan.

“Siasatan kes kini telah dilengkapkan kertas siasatan dan suspek dipercayai dalang ini akan dituduh di mahkamah pada 10 November ini (esok) untuk kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.

Penahanan itu juga kata Ayob Khan dipercayai dapat membantu polis dalam menyelesaikan sebanyak lapan kes berkaitan ugutan jenayah dan khianat dengan simbah cat.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen dengan menawarkan wang tunai daripada RM500 hingga RM15,000,” katanya.

Dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes ugutan jenayah dan simbah cat yang dilakukan kumpulan berkenaan.- MalaysiaGazette