Ghazale Muhamad

MELAKA – Penyandang DUN Rim, Datuk Ghazale Muhamad yakin Datuk Khaidhirah Abu Zahar mampu meneruskan kejayaan legasi kepimpinan Barisan Nasional (BN) jika memenangi kerusi di dewan undangan negeri itu.

Beliau yang mengalu-alukan pencalonan Khaidhirah yang mesra disapa sebagai Dira, menyifatkan wanita itu bukan juga bukan calang-calang calon yang dipilih oleh BN.

Katanya, anak bekas Ketua Menteri Melaka itu memahami isi hati rakyat, tambahan Allahyarham ayahnya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin amat sinonim dengan penduduk di Jasin, termasuk di Rim.

“Saya yakin dengan kemampuan dan ketokohan yang ditunjukkan (Dira) sebelum ini, beliau mampu menyambung kerja-kerja yang telah dibuat oleh pemimpin terdahulu termasuk saya yang pernah menerajui DUN ini selama dua penggal,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bilik Gerakkan BN Dun Rim, di Sungai Chinchin, hari ini.

Lebih penting, katanya, pencalonan Dira ini merupakan satu pembaharuan yang dibuat oleh UMNO dalam memberi tanggungjawab dan kepercayaan kepada golongan muda sebagai pemimpin pelapis akan datang.

Dira akan ditentang oleh dua pencabarnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abd Rahman dan calon Pakatan Harapan (PH), Prasanth Kumar.

Dira merupakan Ketua Puteri Umno Bahagian Jasin merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO manakala Prasanth merupakan Ketua Pemuda PKR Melaka dan pertama kali menyertai pilihan raya.

Azalina pula merupakan Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pernah bertanding di DUN Sungai Rambai pada Pilihan Raya Umum lalu, namun kalah kepada Datuk Hasan Abd Rahman.

Mengulas mengenai pesaing Dira, 37, iaitu Prasanth Kumar yang jauh lebih muda, Ghazale berkata, pengundi semakin bijak untuk memilih wakil rakyat dengan mengambil pertimbangan seimbang antara pengalaman dan pendidikan.

Jelas beliau, jika pengundi memikirkan faktor umur semata- mata,  itu juga tidak boleh menjamin keupayaan untuk memenuhi keperluan rakyat terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya tidak nafikan setiap calon mempunyai kebolehan dan bakat tersendiri, tetapi saya yakin mereka yang berumur lebih berpengalaman.

”Kita tahu pengalaman untuk menjadi pemimpin memerlukan masa dan masa adalah faktor umur.

“Pengalaman yang kurang juga tidak mampu menjamin seseorang pemimpin itu dapat mengimbangi permintaan masyarakat yang pelbagai lapisan tahap umurnya,” katanya.

Tegasnya lagi, keutamaan sebagai pemimpin dalam mentadbir kawasan DUN adalah berdasarkan pengalaman dan bukannya dinilai hanya pada pendidikan di universiti mahupun rujukan buku semata-mata. – MalaysiaGazette