Calon Barisan Nasional DUN N.25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar bercakap pada sidang media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Restoran Nurhidayah Jasin, Melaka Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 NOVEMBER 2021.

RIM – Biarpun disebut-sebut sebagai muka baharu, calon Barisan Nasional (BN) bagi di N.25 Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar, 37, hakikatnya tidak berhadapan kesukaran untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan.

Beliau yang mesra dipanggil Dira berkata, tidak timbul isu kurang mendapat kerjasama seperti yang diperkatakan, sebaliknya beliau menerima maklumbalas dan sokongan yang sangat baik daripada kepimpinan di sini.

Berkongsi pengalaman dua hari tempoh berkempen sejak diumumkan sebagai calon di Rim sehinggalah diwartakan sebagai calon semalam oleh Suruhanjaya Piihan Raya (SPR), Dira juga menepis tohmahan orang ramai yang mengatakan bahawa beiliau bukan merupakan calon tempatan.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dicalonkan di DUN Rim di mana inilah kampung asal usul keluarga mak saya dan sebahagian besar daripada keluarga saya sendiri sebenarnya memang berasal daripada sini,” luah Dira ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Rim hari ini.

Sebagai seorang calon wanita muda, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO meluahkan keyakinan memenangi mandat rakyat di kerusi Rim pada 20 November ini.

Beliau yakin kerjasama dengan penyandang yang juga mentornya, Datuk Wira Ghazale Muhamad akan lebih memberikan impak dalam proses berkempen nanti.

“Datuk Wira adalah seorang YB yang sangat baik reputasi kerjanya, memang diperakui sehingga di peringkat tertinggi,”ulasnya.

Dira berkata cabaran nombor satu baginya adalah untuk meneruskan kerja yang baik yang telah disedikan oleh Ghazale selama dua penggal itu.- MalaysiaGazette