KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.5 peratus pada bulan September 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 4.0 peratus dalam indeks pembuatan dan 0.4 peratus dalam indeks elektrik.

Sementara itu, indeks perlombongan merekodkan penyusutan 3.0 peratus.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 3.7 peratus didorong oleh sektor pembuatan dan elektrik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.0 peratus pada bulan September 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus pada bulan Ogos 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada September 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (12.3%), produk petroleum, kimia, getah & plastik (6.1%) dan makanan, minuman & tembakau (2.1%).

Industri berorientasikan eksport tumbuh 6.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik menyusut sebanyak 1.9 peratus.

Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal dan pembuatan kok & produk petroleum bertapis.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, kemerosotan industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi-treler dan pembuatan produk galian bukan logam lain.

Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan turut meningkat 5.5 peratus berbanding Ogos 2021 yang mana kenaikan ini turut digambarkan oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi berbanding bulan lalu terutamanya dalam subsektor makanan, minuman & tembakau, produk peralatan elektrik & elektronik dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Output sektor perlombongan menguncup 3.0 peratus pada bulan September 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh kejatuhan 7.7 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat, sementara itu indeks gas asli tumbuh 1.0 peratus.

Pada masa yang sama, indeks perlombongan turut merosot 2.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Output sektor elektrik meningkat 0.4 peratus pada bulan September 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.

Sementara itu dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik turut berkembang 1.6 peratus.

IPP bagi suku tahun ketiga 2021 menyusut 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks elektrik, indeks perlombongan dan indeks pembuatan, masing-masing dengan kejatuhan 3.1 peratus, 2.2 peratus dan 0.7 peratus.

IPP bagi tempoh Januari hingga September 2021 merekodkan pengembangan 7.6 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen – indeks pembuatan (9.6%), indeks perlombongan (2.3%) dan indeks elektrik (1.6%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast