Jabatan Penjara Malaysia membenarkan perjumpaan peguam, polis, kedutaan dan pihak berkompeten yang telah lengkap divaksin dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan perjumpaan peguam, polis, kedutaan dan pihak berkompeten yang telah lengkap divaksin dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata, para pelawat perlu mengemukakan keputusan negatif ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (swab/saliva) dengan tempoh sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala.

“Syarat ini turut terpakai kepada penghuni penjara yang terlibat.

“Permohonan rasmi kepada pengarah institusi perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh perjumpaan dan keputusan permohonan akan dimaklumkan sebelum tarikh yang dicadangkan.

“Pelawat yang tidak divaksinasi atas faktor kesihatan perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Pegawai Perubatan bertauliah,” kata kenyataan yang sama.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi institusi berkaitan atau rujuk laman web Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my. – MalaysiaGazette