Ayob Khan (tengah ) meninjau Operasi Bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, di Johor Bahru, Johor

JOHOR BAHRU – Kontraktor selenggaraan jalan diingatkan agar memastikan setiap kon penghadang jalan yang digunakan perlu diletakkan pemberat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menerima laporan seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar kon yang beralih secara tiba-tiba pada pukul 2 pagi 6 Oktober lalu.

“Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun berkenaan terjatuh sebelum hampir dirempuh sebuah lori.

“Sehubungan itu, saya beri peringatan kepada semua kontraktor terlibat dalam kerja penyelenggaraan jalan raya, pastikan kon yang diletak mesti berisi sama ada air atau pasir, agar kon itu tidak bergerak, dia statik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Operasi Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, di sini, hari ini.

Pada 25 Oktober lalu, tular rakaman video di media sosial berdurasi 34 saat memaparkan penunggang tersebut berhenti selepas melanggar kon yang jatuh di tepi jalan dalam penyelenggaraan.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan kontraktor supaya memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah mengenai kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan diletakkan kon.

“Lepas ini kita akan ambil tindakan kepada pihak yang cuai.

“Saya tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu insiden baharu hendak ambil tindakan, sudah banyak insiden yang berlaku sebelum ini dan ia perlu dijadikan pengajaran,” ujarnya.-MalaysiaGazette