Pemeriksaan dilakukan di lokasi tapak pembinaan yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 82 dan 78, Akta 133 Akta Jalan ,Parit dan Bangunan dan UUK 5(1) Undang-undang Kecil (MPK) 1983.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mengeluarkan 60 kompaun beserta notis kacau ganggu kepada pemaju dan kontraktor di daerah ini yang melanggar peraturan di tapak pembinaan.

Pegawai Perhubungan Awam MBK, Norkamawati Kamal berkata, kompaun dikeluarkan setelah pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas tahap kebersihan dan keselamatan di 29 tapak pembinaan di sekitar Kuantan hari ini.

“Kebelakangan ini MBK kerap menerima aduan berkenaan dengan kacau ganggu yang berpunca dari tapak binaan terutaman berhampiran kawasan kediaman.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas tahap kebersihan dan keselamatan tapak serta kepatuhan kepada syarat-syarat yang dikenakan,” katanya

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat banyak tapak binaan yang tidak diselia dengan sempurna daripada segi pengurusan sampah serta binaan rumah kongsi yang menggunakan bahan tidak sesuai dan mudah terbakar.

Jelas Norkamawati, bagi kesalahan itu kompaun RM500 dikenakan bagi kesalahan Seksyen 82 dan 78, Akta 133 Akta Jalan ,Parit dan Bangunan dan UUK 5(1) Undang-undang Kecil (MPK) 1983.

Ujarnya, MBK akan pergiat melaksanakan pemeriksaan di tapak-tapak binaan terutamanya yang berhampiran kawasan kediaman secara konsisten.

MBK berharap agar pemaju dan kontraktor memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast