Ahmad Maslan

AYER KEROH – Muafakat Nasional (MN) masih hidup dan pertembungan UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya pertandingan persahabatan.

Itu kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hubungan UMNO dan Pas yang dikatakan semakin renggang apabila Pas memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRN Melaka.

“Saya bersama dalam mesyuarat MN sejak 2019. Kita memeterai MN yang ketika itu kami masing-masing masih pembangkang.

“MN ada piagam yang kami meterai termasuk pembahagian kerusi peringkat nasional bahawa kita tak mahu bertembung,” katanya dalam Program Melaka Memilih di Studio Mini Malaysia Gazette di sini hari ini.

Ahmad berkata,, menerusi perbincangan, Pas tidak mahu menggunakan logo selain logo parti mereka.

“Sepanjang pengetahuan saya, Pas tidak pernah menggunakan selain logo mereka sendiri tetapi di Melaka lain pula. Mungkin ada ahli Pas yang kecewa dengan perkara ini,” katanya.

Jelasnya, UMNO masih tetap dengan keputusan yang dicapai di Perhimpunan Agung UMNO di mana MN akan terus diperkukuhkan.

“Baru-baru ini saya nyatakan lagi mengenai kerjasama ini yang mana UMNO mahu bersama Pas. MN masih belum mati dan masih hidup. Ahli-ahli Pas mahu MN terus hidup, pimpinan UMNO amat tahu pasal itu,” katanya lagi.

Jelas Ahmad lagi, PRN Melaka ini dianggap sebagai pertandingan persahabatan.

“Itu yang boleh saya katakan. Masalahnya dalam politik tiada naib juara. Kalau calon UMNO dapat 8,000, Pas 3,000 Pas tidak boleh jadi Timbalan ADUN, tiada jawatan itu.

“Dalam politik, tiada naib juara,” katanya.

PRN Melaka memperlihatkan pertembungan Pas dengan UMNO dengan Pas bertanding di lapan kerusi dan UMNO di 20 kawasan Melaka.

Pengundian awal akan diadakan pada 16 November ini dan pembuangan undi akan diadakan pada 20 November depan. -MalaysiaGazette