Calon Barisan Nasional DUN N.24 Bemban Datuk Koh Chin Han bercakap pada sidang media berkenaan lompat parti politik di Bilik Gerakan Utama MCA, World Youth Hotel Ayer Keroh, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – MCA menggesa rakyat Melaka menghukum Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana mencalonkan individu yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri.

Calon Barisan Nasional (BN-MCA) bagi kerusi N24 Bemban, Datuk Koh Chin Han berkata, rakyat perlu memberi pengajaran kepada katak politik terlibat menjejaskan kestabilan pentadbiran ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

“PH cakap tak serupa bikin. Sebelum ini mereka tidak mahu bersengkongkol dengan ahli politik katak dan anti dengan tindakan lompat parti.

“Kini pendirian mereka berubah dan PH menyokong si katak hanya untuk memberi manfaat kepada mereka.

“Episod katak politik ini harus ditamatkan dan ianya perlu dimulakan di Melaka,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA di Hotel World Youth, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan tindakan yang paling memalukan kerana bukan sahaja menerima katak politik bahkan mengangkat mereka sebagai hero dan menjadikan mereka sebagai calon PH.

“Sebelum ini Anwar dan PH tidak boleh menerima ahli parti mereka lompat ke parti lain.

“Mereka mungkin dituduh sebagai tidak bermaruah kerana mengkhianati rakyat dan sistem demokrasi negara,” katanya.

Katanya lagi, walaupun DAP kecewa dengan sekutunya iaitu PKR dan Amanah kerana memilih dua bekas wakil rakyat UMNO itu, namun parti itu perlu Menerima hakikat mereka bertanding atas tiket PH.

“Walaupun DAP tidak bersetuju dengan tindakan Anwar, namun DAP tidak boleh lari daripada hakikat bahawa mereka duduk di bawah bendera yang sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette