Polis kini sedang mengesan pemandu kereta jenis Toyota Corolla yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Persiaran Bukit Jambul yang tular semalam.

GEORGE TOWN – Polis kini sedang mengesan pemandu kereta jenis Toyota Corolla yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Persiaran Bukit Jambul di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu menyebabkan bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza mengalami kerosakan akibat dirempuh pemandu kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan pemilik MPV tersebut berhubung kejadian semalam sebelum mendapati video kemalangan itu yang berdurasi satu minit 18 saat tular di media sosial hari ini.

Soffian Santong.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila MPV itu berhenti di simpang untuk membelok manakala pemandu Toyota Corolla dikatakan memotong ke kanan tanpa mengikut giliran.

“Ketika memotong di laluan garisan berkembar itu sebuah kenderaan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu Toyota Corolla tersebut mencelah untuk masuk semula ke laluan asal.

“Bagaimanapun ketika masuk semula ke laluan asal pemandu kereta itu telah melanggar bahagian belakang MPV berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Soffian, susulan pelanggaran itu pemandu MPV berkenaan turun untuk berbincang namun pemandu Toyota Corolla terus melarikan diri.

“Sehingga kini, pemandu kereta Toyota Corolla itu tidak membuat sebarang laporan polis dan usaha mengesannya sedang dilakukan.

Mengulas lanjut Soffian menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi arahan lalulintas serta menyelesaikan sebarang kejadian kemalangan menggunakan peraturan-peraturan serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa. – MalaysiaGazette