KUALA LUMPUR – Polis Kajang sedang mengesan seorang pemandu samseng yang bertindak kasar terhadap seorang penunggang motosikal di jalan raya di Bandar Teknologi Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan yang dibuat berhubung tindakan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima satu video berdurasi 58 saat, yang memaparkan tindakan seorang pemandu sebuah kereta yang bertindak kasar seperti samseng jalanan yang telah dirakam oleh pengguna jalan raya yang ada di lokasi kejadian.

Daripada rakaman tersebut polis percaya ianya berlaku di kawasan jalan raya lampu isyarat Bandar Teknologi Kajang berdasarkan kenyataan daripada perakam video tersebut.

”Semakan oleh pihak polis dapati tidak ada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian ini, oleh mana-mana pihak atau individu,” katanya.

Namun, satu laporan polis maklumat pertama (FIR) telah dibuat oleh pihak polis untuk satu siasatan dijalankan bagi mengesan si pelaku dan mangsa dalam kes ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dan ugutan yang mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada mangsa.

Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat agar si pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Orang ramai juga dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai kejadian tersebut dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat kes iaitu Insp Mohd Ali Bin Hamzah di talian 019-866 0324. – MalaysiaGazette