Mohd Redzuan Md. Yusof

ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof menafikan bahawa beliau akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, ura-ura itu tidak benar.

“Orang tanya kedudukan Ahli Parlimen Alor Gajah, saya nak nafikan orang kata saya tidak berada dalam parti atau pun ura-ura saya nak keluar parti,” katanya pada sidang media di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah hari ini.

Sebelum ini ada laporan media bahawa Redzuan akan membuat satu kenyataan penting hari ini.

Bekas Menteri Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pengumuman tersebut berkaitan dengan karier politik beliau.

Dalam pada itu, Redzuan berkata, tidak timbul isu untuk beliau bergerak sendiri dan masih akur bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tidak timbul kita bergerak secara berasingan, kita akur kepada parti dan kita seboleh mungkin mahu menyelaraskan pergerakan kita sempena kempen PRN Melaka,” katanya lagi.

Ditanya sama ada dakwaan beliau berkecil hati dengan kepimpinan Bersatu Melaka yang dilihat meminggirkan dirinya, Redzuan berkata, dirinya memang berkecil hati namun tidak akan terus bersikap demikian.

Jelasnya Bersatu harus bekerjasama untuk memenangkan kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

“Kita orang yang berparti kita kena akur dengan keputusan itu kalau dinampakkan ketua pimpinan negeri Melaka hari ini boleh menguruskan dan memberikan kemenangan di Melaka, itu adalah keputusan tertinggi.

“Kita tidak boleh ada dua ketua di sini (Melaka) jadi kita ikut susun atur itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette