Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan kepada pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 2,712 pesakit yang mengalami gejala-gejala komplikasi jangka panjang atau ‘long Covid’ dirujuk dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas jangkitan ke Perkhidmatan Khas Rehabilitasi Pesakit Luar COVID-19 (CROSS) Hospital Sungai Buloh.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah tersebut sejumlah 984 kes (36.3%) pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami manakala 1,715 kes (63.2%) masih mengalami gelaja berterusan dan 13 kes lagi berakhir dengan kematian.

Bagaimanapun katanya, semakan rekod perubatan 13 kes yang berakhir dengan kematian tersebut mendapati terdapat faktor komorbid lain iaitu melibatkan penyakit kanser yang telah merebak, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah serta jangkitan paru-paru.

“Selain itu, analisa ke atas pangkalan data yang sama mendapati terdapat seramai 2,324 pesakit telah menjalani penilaian melepasi 12 minggu selepas jangkitan Covid-19. Didapati 97.5 peratus daripada mereka merupakan pesakit yang pernah mengalami jangkitan serius Covid-19 iaitu kategori 4 dan 5.

“Penilaian selepas 12 minggu ke atas 2,324 kes ini mendapati sebanyak 914 kes (39.4%) pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami dan 1,410 kes (60.6%) masih mengalami gejala-gejala berterusan di mana kebanyakan mereka melaporkan lebih dari satu gejala,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, lima gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan iaitu sebanyak 71.8 peratus, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9%), batuk (13.6%), kesakitan (13.2%), dan kesukaran tidur nyenyak (11%).

Kata beliau, analisa terhadap fungsi yang dialami oleh pesakit ‘long Covid’ selepas 12 minggu jangkitan mendapati sebanyak 61.1 peratus daripadanya tidak mengalami kehilangan fungsi manakala 25.6 peratus mengalami kesukaran fungsi yang boleh diabaikan.

Jelasnya, sebanyak 8.9 peratus pula mengalami kesukaran fungsi yang ringan, 3.7 peratus mengalami kesukaran fungsi yang ketara tetapi tidak memerlukan bantuan individu lain dan 0.7 peratus mengalami kesukaran fungsi yang sangat ketara sehingga memerlukan bantuan individu lain.

“Tanpa rawatan yang khusus, keadaan ini akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya.

“Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan Covid-19. Selain itu, long Covid juga boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, dan hilang sumber pendapatan.

“Bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit long Covid malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sehingga 30 Oktober, sejumlah 5,193 pesakit telah menjalani perawatan serta pemantauan program rehabilitasi menangani gejala long Covid di seluruh negara melibatkan 31 buah hospital awam, empat buah hospital universiti, dan enam buah fasiliti kesihatan swasta. – MalaysiaGazette