Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan wanita mengalami kerugian RM310,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai seorang pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 55 tahun pada Isnin lalu.

“Mangsa telah dihubungi oleh seorang pegawai bank pada Ahad lalu yang mendakwa kad kredit milik mangsa telah digunakan dalam jumlah yang besar.

“Mangsa telah diminta untuk menghubungi Bank Negara Malaysia melalui nombor telefon yang telah diberikan. Dalam perbualan tersebut, mangsa telah diminta untuk mendedahkan maklumat perbankan sebelum menyedari dirinya ditipu apabila menerima mesej memaklumkan beberapa transaksi berlaku dari akaun miliknya ke akaun yang tidak dikenalpasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan Macau Scam, orang ramai dinasihati supaya mendapatkan butir-butir terperinci pihak berkuasa yang berhubung tentang sebarang siasatan seperti nama atau pangkat pemanggil serta tempat bertugas.

Selain itu, orang ramai diminta membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi selain tidak mendedahkan maklumat akaun dan OTP/TAC kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon.

Katanya, orang ramai yang mengesan sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/ 1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette