Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) belum mengambil tindakan disiplin ke atas kakitangan kerajaan yang enggan atau masih belum mendapatkan pelalian Covid-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sehingga kini dianggarkan hanya 1.8 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam yang masih belum mengambil vaksin.

Jelas beliau, walaupun jumlah penjawat awam yang belum mendaftar untuk divaksin kecil namun imunisasi lengkap perlu bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dalam tempoh 10 hari ini selepas dilaksanakan, tiada sebarang tindakan disiplin diambil walaupun kerajaan mewajibkan semua pegawai awam Persekutuan mengambil dan melengkapkan vaksin Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin mengetahui statistik penjawat awam yang enggan terima atau belum sedia terima vaksinasi Covid-19, selepas JPA mewajibkannya mulai 1 November lalu.

Dr Abdul Latif menambah, arahan melalui pekeliling perkhidmatan awam itu adalah untuk melindungi pegawai itu sendiri serta majoriti penjawat awam dan rakyat yang divaksin kerana masih terdapat risiko penularan pandemik Covid-19 di premis kerajaan.

Pekeliling Perkhidmatan itu menetapkan pada atau selepas 1 November pegawai boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan dos pelalian Covid-19 yang lengkap dengan cara mengemuka Sijil Digital Vaksinasi Covid-19.

Pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar, ketua jabatan boleh mempertimbang apa-apa kaedah yang bersesuaian untuk menguruskan pegawai yang tidak mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, termasuk mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan Covid-19.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai tindakan disiplin kepada guru yang masih enggan divaksin, jelasnya, JPA mengeluarkan arahan tindakan tatatertib bagi memastikan sistem penyampaian dapat dipastikan secara optimum

“Dalam isu guru ini, mereka yang tidak mahu terima vaksin ini jelas mereka tidak menjalankan tugas sebagai pendidik. Kita boleh tukar mereka ini tetapi ini tidak selesaikan masalah.

“Apa yang dilaksanakan JPA ini semata-mata demi kepentingan perkhidmatan awam dan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette