Sebahagian pesakit Covid-19 yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,068 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut kini seramai 2,430,122 orang.

Menurut beliau, terdapat 543 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 504 kes disahkan positif Covid-19 manakala 41 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 279 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 196 kes positif Covid-19 sementara 83 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (6,243 kes) sebanyak 106 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 6,137 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 24 kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes import manakala 6,219 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 5,881 warganegara dan 338 bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak tujuh kluster baharu dikesan membabitkan dua kategori kluster tempat kerja manakala masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi pendidikan swasta dan pendidikan tinggi.

Katanya lagi, sejumlah 5,524 kluster telah ditamatkan manakala terdapat 300 kluster yang masih aktif.

“Kluster tempat kerja dikenali sebagai kluster Industri Batu 4 Jalan Kebun di Selangor menyaksikan seramai 927 individu disaring dengan 70 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Manakala kluster kumpulan berisiko tinggi di Jalan Gajah Mati Machang Bubok, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang melaporkan sebanyak 19 kes positif selepas seramai 20 individu disaring,’ ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.96.

Jelas beliau, tiga negeri merekodkan nilai Rt tinggi melebihi tahap 1 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.07) manakala dua lagi negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 1.02 dan Selangor (1.01).

Sementara di Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang pula merekodkan nilai Rt pada kadar 0.99. – MalaysiaGazette