PN component parties GE15 PAS Bersatu Gerakan The Secretary-General of Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin at an exclusive interview at the MalaysiaGazette Studio in Melaka. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 09 NOVEMBER 2021.
Datuk Seri Hamzah Zainudin

AYER KEROH – Kerjasama antara semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tidak sekadar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sahaja.

Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, akan ada perbincangan untuk meneruskan kesinambungan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PN bukan bertanding setakat PRN Melaka ini. Pas juga menerusi kenyataan Presidennya, Tok Guru Hadi Awang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri akan kekal bersama-sama PN.

“Ia adalah sebuah gabungan untuk mana-mana pilihan raya akan datang,” katanya ketika melawat pusat penyiaran media Malaysia Gazette, di sini, semalam.

Belau berkata, apabila PN ditubuhkan, ia berhasrat untuk terus kekal bersama dengan parti-parti gabungan di dalamnya.

“Apabila kita kata nak kekal, sudah pasti kita mempunyai agenda-agenda dan ideologi tertentu untuk menggabungkan semua parti yang merasakan bahawa apa yang dibawakan ini dalam menentukan diterima oleh semua dengan baik sekali.

“Dalam keadaan yang baharu ditubuhkan itu, kita pun sudah ada empat parti. InsyaALLAH akan ada lagi kerana sudah ada banyak parti-parti yang buat permohonan untuk bersama kita, cuma sejauh mana gabungan ini nanti dan ia harus diperhalusi,” katanya yang turut mahu memastikan apa tujuan dan matlamat parti yang mahu bersama PN.

Jelasnya, pada PRN Melaka, semua parti sudah memahami bahawa tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meletakkan calon di bawah satu lambang iaitu PN.

“Ini terbukti, semua pemimpin di bawah PN merasakan gabungan ini mampu untuk meneruskan perjuangan ini.

“Kerana itu PN bukan hanya untuk PRN Melaka sahaja,” jelasnya.

Untuk rekod PN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka dengan Bersatu 15 kerusi, Pas 8 dan Gerakan 5.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini. -MalaysiaGazette