Seorang wanita menerima dos penggalak bagi mengekang jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas. foto Reuters

SEOUL – Korea Selatan menggalakkan rakyatnya mengambil suntikan penggalak Covid-19 selepas lebih ramai warga emas jatuh sakit walaupun sudah menerima vaksin menyebabkan kes serius dan kritikal mencapai rekod baharu.

Kes koronavirus melonjak dari pertengahan 300 kes pada Oktober kepada 460 kes pada hari Rabu, menurut data rasmi.

Daripada pesakit yang mengalami sakit teruk, lebih daripada 82% berumur 60 tahun ke atas.

Son Young-rae, seorang pegawai kanan kementerian kesihatan, memberitahu sidang akhbar, kenaikan itu belum lagi menimbulkan ancaman kepada sistem penjagaan kesihatan negara kerana terdapat hampir 500 katil tersedia di unit rawatan rapi.

Beliau berkata, peningkatan kes yang teruk dan saiz jumlah jangkitan, terutamanya dalam kalangan yang tidak divaksinasi adalah perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam memutuskan tindak balas masa depan terhadap sistem penjagaan kesihatan.

Kadar keseluruhan jangkitan yang dialami oleh mereka yang sudah divaksinasi masih kekal rendah iaitu 85.5 orang bagi setiap 100,000 inokulasi.

Tetapi ia telah meningkat secara berterusan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutama dalam kalangan warga emas kerana perlindungan vaksin semakin berkurangan dari masa ke masa dan sistem imun kumpulan yang lebih lemah menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan.

Daripada jumlah pesakit yang serius dan kritikal walaupun sudah lengkap vaksin dalam tempoh lapan minggu lalu, 93% adalah daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas, menurut data kerajaan.

Seramai 640,232 warga Korea Selatan telah diberi dos penggalak sejak program itu bermula bulan lalu, kebanyakannya menggunakan vaksin Pfizer dan Moderna.

Susulan peningkatan kes, Korea Selatan telah mula meningkatkan peraturan Covid-19 pada bulan ini walaupun 90 peratus daripada 52 juta penduduknya sudah divaksin. – Reuters