Calon Bebas N24 Bemban, Datuk Ng Choon Koon bercakap kepada media mengenai masalah banjir di kawasan kampung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Lubuk Kasau, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon bertekad untuk merealiasikan pembinaan projek tebatan banjir bernilai RM100 juta yang sudah diluluskan kerajaan pada 2018 namun terhenti selepas tumbangnya kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau merupakan ADUN Barisan Nasional (BN) Bemban pada 2013 sehingga 2018 dan sepanjang tempoh itu, Choon Koon giat memperjuangkan projek berkenaan yang sudah pun hampir dilaksanakan selepas diluluskan.

Tegasnya, tsunami politik yang berlaku pada PRU-14 bagaimanapun turut menyebabkan perjuangannya untuk menamatkan mimpi ngeri penduduk Bemban terbantut.

“Sebab itu, sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini, saya akan teruskan usaha itu agar masalah banjir ini tidak terus menjadi mimpi ngeri penduduk setiap kali hujan lebat.

“Sekiranya ini dapat dilakukan, dapatlah kira-kira 2,000 penduduk di empat lokasi panas yang kerap dilanda banjir iaitu di Pokok Kempas, Assam Kumbang, Kampung Lubuk Kasau dan Kampung Tehel tidur lena.

“Memang ini adalah antara fokus utama manifesto kempen saya dan berharap rakyat memberi peluang untuk saya meneruskannya sehingga ianya siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Kampung Lubuk Kasau, di sini hari ini.

Calon Bebas N24 Bemban, Datuk Ng Choon Koon (tengah) bersama penduduk, Mazam Md Jeni, 72 (kanan) serta ketua kampung, Abas Md Jeni, 64 (kiri) melihat kawasan yang sering mengalami masalah banjir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Lubuk Kasau, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 11 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Choon Koon yang tewas di kerusi DUN Kesidang pada PRU-14 berkata, untuk langkah sementara, beliau akan terus menyediakan 20 sukarelawan yang bertugas 24 jam sehari untuk membantu mangsa banjir.

Jelasnya yang sudah tidak lagi menjadi ahli MCA sejak 2018, usaha itu sudah pun dilakukan sebelum ini namun bilangan sukarelawan akan ditambah ketika musim hujan kebelakangan ini.

“Mereka yang terjejas boleh hubungi saya atau pasukan ini 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan.

“Sementara menunggu projek tebatan banjir ini dilaksanakan Kerajaan Pusat, saya berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat membantu membersihkan sungai ini dengan lebih kerap sekaligus mengelakkan banjir buruk,” katanya.

Pada PRN Melaka kali ini, Choon Koon yang memegang kerusi DUN itu selama satu penggal sebelum tewas apabila berpindah kerusi ke DUN Kesidang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bakal berdepan saingan lima penjuru.

Beliau akan menentang calon baharu Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Dr Mohd Yadzil Yaakub, Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew (PH), Koh Chin Han (BN) dan calon bebas, Azmi Kamis. – MalaysiaGazette