BATU PAHAT – Dua bot barter trade karam manakala sebuah lagi hampir tenggelam berikutan cuaca buruk di perairan Pulau Pisang 11 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, MRSC Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pukul 11 pagi daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga buah bot syarikatnya telah mengalami kecemasan di laut.
“Berikutan itu, tiga bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak serta merta ke lokasi bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.
“Pada pukul 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal yang memaklumkan KLM BUDIMAN telah dijumpai dan hampir tenggelam di kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh oleh sebuah kapal kargo yang berada berhampiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, kesemua kru warga Indonesia bagaimanapun dilaporkan selamat.
Sementara itu, menurutnya, sekitar pukul 12.57 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir di kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.
“Tetapi kira-kira pukul 3.45 minit petang, pihak kami telah menerima maklumat berkaitan 10 lagi kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai Indonesia.
“KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pukul 5.30 petang semalam.-MalaysiaGazette
















