KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 9 November lalu.
Kejadian membabitkan empat buah kenderaan itu berlaku sekitar pukul 11.50 malam di Jalan Kuching.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan dua buah kenderaan jenis motokar Perodua Viva dan Toyota Vios serta dua buah motosikal jenis Yamaha skuter dan Modenas Kriss.
“Pemandu kenderaan motokar jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang lelaki yang sedang memandu dari arah Bulatan Kinabalu menghala ke Kepong.
“Sampai di lokasi kemalangan, pemandu kenderaan Perodua Viva telah hilang kawalan sebelum terbabas sehingga memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan motokar jenis Toyota Vios.
“Akibat kemalangan tersebut dua buah motosikal dari arah Jalan Kuching ke pusat bandar tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zulkafli, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa yang mana pemandu motokar jenis Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu kenderaan Toyota Vios telah dapat dikesan dan tindakan susulan akan diambil polis,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT ), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette














