Gambar hiasan

KUALA LUMPUT – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 62,332 tan metrik pada September 2021 meningkat 5.3 peratus berbanding Ogos 2021 (59,172 tan metrik).

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 46.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2021 diikuti Amerika Syarikat (13.1%), Jerman (4.3%), Pakistan (2.5%) dan Finland (2.1%).

”Prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli
seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

”Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.1 billion pada September 2021, menurun sebanyak 2.2 peratus berbanding Ogos 2021 (RM3.8 billion),” Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, engeluaran getah asli menurun 4.1 peratus pada bulan September 2021 (41,180 tan metrik) berbanding pada bulan Ogos 2021 (42,942 tan metrik).

Jumlah pengeluaran tahunan turut menurun 10.8 peratus berbanding 46,187 tan metrik bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2021 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 91.0% berbanding sektor estet sebanyak 9.0%.

Jumlah stok getah asli meningkat 2.0 peratus pada September 2021 kepada 292,271 tan metrik berbanding 286,653 tan metrik pada Ogos 2021.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.0 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9%) dan estet getah (0.1%).

Analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan sebanyak 4.8 peratus (September 2021: 497.24 sen sekilogram, Ogos 2021: 522.13 sen sekilogram) dan Sekerap sebanyak 8.9 peratus (September 2021: 538.08 sen sekilogram, Ogos 2021: 590.42 sen sekilogram).

Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang turun antara 4.8 hingga 6.8 peratus. G.M.M. 20 merekodkan penurunan tertinggi 6.8 peratus (September 2021: 668.98 sen sekilogram, Ogos 2021: 717.65 sen sekilogram).

Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 dan SGP/MYS masing-masing menurun 4.7 peratus (daripada AS$1.71/kg kepada AS$1.63/kg) dan 5.9 peratus (daripada AS$1.90/kg kepada AS$1.79/kg).

Prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 mencatatkan penurunan 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020 (Januari-September 2021: 354,359 tan metrik, Januari-September 2020: 372,381 tan metrik).

Sementara itu, prestasi suku ketiga 2021 pula menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 47.5 peratus kepada 132,732 tan metrik berbanding 89,985 tan metrik pada suku kedua 2021. – MalaysiaGazette