Giant yang merupakan pasar raya peneraju nilai di Malaysia dikendalikan oleh GCH Retail Malaysia (GCH) melancarkan kempen menurunkan harga lebih 460 barangan keperluan harian termasuk barangan segar dan runcit terpilih.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Giant yang merupakan pasar raya peneraju nilai di Malaysia dikendalikan oleh GCH Retail Malaysia (GCH) melancarkan kempen menurunkan harga lebih 460 barangan keperluan harian termasuk barangan segar dan runcit terpilih.

Kempen  bermula hari ini di semua kedai Giant dan Giant Mini selama enam bulan bagi membantu rakyat Malaysia membuat perbezaan ketara dengan ‘dompet’ mereka.

Pengarah Pemasaran Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun berkata, pihaknya  telah melabur sehingga RM22 juta dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan mereka dengan kempen yang dikenali Harga Lagi Rendah Lagi Lama.

Beliau berkata, pelaburan itu adalah hasil daripada penyelidikan Giant tentang perkara yang paling penting bagi pelanggan iaitu produk segar dan berkualiti pada nilai yang hebat bagi membantu mereka dalam penjimatan.

“Ini adalah bukan promosi jualan tergempar tetapi pengurangan harga jangka panjang bagi produk yang paling penting untuk pelanggan.

“Giant komited untuk mengekalkan harga rendah ini lebih lama supaya lebih ramai pelanggan dapat memanfaatkannya, memandangkan peningkatan inflasi dan tekanan kewangan yang dialami oleh kebanyakan keluarga akibat kesan pandemik.

“Dengan Harga Lagi Rendah Lagi Lama, Giant memainkan peranannya dalam menyokong Malaysia pada masa yang mencabar ini. Harga yang lebih rendah yang lama bagi barangan keperluan yang paling banyak dibeli oleh pelanggan,” katanya pada pelancaran kempen di sini hari ini.

Yik Hun menambah, bagi membantu pelanggan lebih jauh, GCH Retail yang juga sebahagian daripada DFI Retail Group melancarkan Meadows, jenama sendiri yang menawarkan makanan berkualiti tinggi dari negara di seluruh dunia dengan harga jauh lebih berpatutan berbanding jenama setara.

“Dicipta hasil daripada ribuan ujian rasa yang dijalankan dengan pengguna, setiap produk dalam rangkaian Meadows dipilih khas dengan teliti dari negara di seluruh dunia, dengan tumpuan terhadap kualiti, nilai dan persembahan.

“Meadows sudah pun menjadi jenama terkemuka di Giant, lebih popular daripada kebanyakan jenama antarabangsa yang terkenal,” katanya.

Beliau menambah, harga dan nilai yang menakjubkan bagi produk jenama sendiriitu dicapai melalui perkongsian rapat dengan pembekal utama, petani dan nelayan.

“Ia bagi memastikan produk segar kekal sebagai tumpuan utama di kedai kami supaya pelanggan sentiasa boleh bergantung pada kualiti segar pasaran pada harga rendah dan nilai hebat setiap hari,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group untuk Perniagaan Makanan Asia Tenggara, Chris Bush berkata, pelaburan Giant itu adalah suntikan tunggal terbesar untuk tempoh lebih satu dekad dalam menurunkan harga barangan.

“Kami tahu ini adalah masa yang sukar bagi semua orang dan pelanggan menghadapi pelbagai kebimbangan kos yang semakin meningkat, daripada jaminan pekerjaan kepada peningkatan kadar inflasi.

“Kami mempunyai sejarah panjang sebagai peruncit makanan terkemuka di Malaysia dan kekal komited untuk menyokong pelanggan.

“Kami mendengar dan bertindak mengikut apa yang pelanggan maklumkan mengenai perkara yang paling penting bagi mereka iaitu harga lebih rendah dan nilai lebih baik bagi barangan keperluan yang paling banyak dibeli,” katanya. – MalaysiaGazette