KUALA LUMPUR – Pengendali pelancongan berlesen atau mana-mana syarikat pengendali umrah tidak dibenar mengiklankan tawaran pakej tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan bermula 1 Februari tahun depan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penguatkuasaan itu berdasarkan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], sebagai langkah mengenal pasti iklan haram pakej umrah.
Menurut kenyataan itu, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dipengerusikan Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri hari ini, yang turut disertai wakil Kementerian Luar Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Lembaga Tabung Haji; Polis Diraja Malaysia; persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi lain yang berkaitan.
Kenyataan itu turut memaklumkan setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberi nombor siri khas yang perlu dipaparkan dan borang permohonan boleh dimuat turun di www.motac.gov.my. – MalaysiaGazette