Seorang jurutera syarikat perrunding pembinaan, Toh Hwee Sheng, 46, diringi anggota SPRM dibawa ke mahkamah untuk didakwa bersabit kesalahan memalsukan tandatangan dokumen bagi cadangan pembinaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang jurutera syarikat perunding pembinaan  didenda sebanyak RM40,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan memalsukan tandatangan dokumen tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Toh Hwee Sheng, 46, selain diperintah dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Hwee Sheng dihadapkan ke mahkamah dengan tangan bergari dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 8.20 pagi ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu satu buku structure design calculation bertarikh 2 Ogos 2014 berhubung kiraan struktur dan pelan struktur bagi cadangan membina sebuah banglo dua setengah tingkat di atas Lot PT 1, No 1, Jalan 5, Selayang Baru, Mukim Batu, Gombak daripada Lieng Consult kepada Datuk Yip Kum Fook iaitu pemilik tanah yang mana mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Ogos sehingga 12 Ogos 2014 di No 2A & B, Jalan 53, Desa Jaya Kepong.

Oleh demikian, dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman yang mengendalikan kes telah memohon mahkamah supaya tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh kerana amalan pemalsuan dan meniru tandatangan pemilik syarikat.

“Kesalahan ini adalah serius dan menjadi barah dalam masyarakat jika tidak ditangani,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili mana-mana peguam merayu hakim supaya hanya hukuman denda dikenakan dan tidak dipenjara kerana beliau menanggung keluarganya.

“Saya tidak berniat memperdayakan pihak Majlis Perbandaran Selayang dan hanya mencari pendapatan buat keluarga. Isteri saya hanya suri rumah sepenuh masa dan saya juga kena memikul tanggungan menjaga ibu yang kini sudah berusia 76 tahun.

“Ini kesalahan pertama saya dan saya menyesal serta insaf atas kesalahan yang dilakukan ini dan berjanji tidak akan mengulangi lagi serta mohon jasa baik mempertimbangkan segala faktor tadi dan memberi hukuman seminima dan mungkin tanpa hukuman penjara,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada 2013, Datuk Yip Kum Fook iaitu bekas Ahli Majlis Perbandaran Selayang mengarahkan syarikat tertuduh bekerja, Lieng Consult menyediakan Borang A, Kiraan Struktur dan Pelan Struktur bagi cadangan membina sebuah banglo dua setengah tingkat di atas Lot PT 1, No 1, Jalan 5, Selayang Baru, Mukim Batu, Gombak.

Bagaimanapun, penyediaan dokumen itu adalah tanpa pengetahuan Lieng Wei Ming selaku pemilik syarikat.

Lieng memaklumkan semua dokumen itu tidak dikeluarkan syarikatnya dan mengesahkan tandatangan pada dokumen itu juga bukan miliknya.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menerima wang RM10,000 daripada Yip atas pembayaran kerja dilakukan iaitu menyediakan semua dokumen itu.

Hasil semakan Bahagian Forensik SPRM mengesahkan tandatangan dokumen structure design calculation adalah berbeza dengan spesimen tandatangan diambil daripada Lieng. – MalaysiaGazette