Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di Glenmarie Hotel Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, partinya boleh sahaja mengambil pendirian untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Johor seperti yang berlaku di negeri Melaka, hari ini.

Bagaimanapun,katanya,  beliau tidak mengambil tindakan sedemikian kerana mengutamakan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Kalau saya memikirkan soal parti saya sahaja, di negeri Johor Bersatu ada 14 kerusi, UMNO ada 15 kerusi, jadinya 29 kerusi tapi PH ada 27 kerusi. Jadi majoriti hanya dua kerusi, kalau kita (Bersatu) berniat jahat dalam erti kata yang sudah berlaku di Perak.

“Datuk Peja jadi menteri besar dijatuhkan walaupun sudah ada persefahaman antara UMNO di bawah Zahid Hamidi di mana Perak ini biarlah Peja kekal menjadi menteri besar. Tapi akhirnya ditumbangkan, UMNO ambil alih. Melaka yang janji awalnya nak diserah kepada Bersatu, saya kata tidak apa, UMNO mengepalai jatuh.

“Saya boleh bertindak sama untuk negeri Johor, hanya memerlukan dua orang ADUN daripada Johor keluar parti maka tumbang kerajaan di Johor yang ada sekarang. Tapi saya fikir balik, Melaka sudah jadi begitu, saya macam gini (sudah tidak jadi PM), takkan kita nak bertindak bodoh atau berniat jahat nak buat masalah sama di Johor, bukan dengki,  tapi saya nak memelihara kesejahteraan rakyat Johor,” katanya dalam siaran langsung Pentas PRN Melaka Perikatan Nasional, hari ini.

Hadir dalam program sama adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Muhyiddin berkata, beliau bertindak mengambil pendirian untuk berdiam diri mengenai kedudukan kerajaan negeri Johor kerana melihat kepada keperluan rakyat yang mahukan satu dasar yang dibentuk dengan lebih adil, saksama dan menentang korupsi.

“Saya yang mengalami ini, dan saya wajar menceritakan soal ini untuk menunjukkan bahawa sudah sampai satu tahap landskap politik negara mesti berubah.

“Sejarah BN sudah berakhir, sudah lama mereka melalui proses ini sudah lebih 6 dekad, sekarang ini rakyat sudah berubah dan pendirian mereka banyak terbuka oleh ilmu dan kemajuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette