Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. capital punishment mandatory death sentence abolish
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Penyelesaian paling utama bagi memastikan populasi Harimau Malaya di negara ini tidak diancam kepupusan ialah dengan cara menghentikan penebangan hutan secara tidak terkawal.

Itu yang disyorkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau terdahulu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak dapat hadir kerana dijangkiti Covid-19.

“Tuan Yang di-Pertua, saya mewakili menteri oleh kerana menteri masih terkena (dijangkiti) Covid-19. Saya dimaklumkan bahawa saya mengambil alih tugasan untuk menjawab perkara yang amat penting ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kemaman,  Che Alias Hamid (PN) yang meminta menteri menyatakan usaha yang dilakukan kementerian bagi memastikan Harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Menurut Wan Junaidi, Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama (First National Tiger Survey-NTS1) yang telah dilaksanakan mulai tahun 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.

“Pada bilangan ini, Malaysia dijangka akan kehilangan spesies Harimau Malaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tindakan drastik (extraordinary actions) tidak diambil dengan segera,” ujarnya.

Tambah Wan Junaidi, menyedari hal tersebut, Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu telah bersetuju dengan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula pada 2021 hingga 2030.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Che Alias berkenaan konflik antara manusia dan Harimau Malaya dan cara untuk menangani sekiranya haiwan tersebut masuk ke kawasan penempatan awam, Wan Junaidi berkata, haiwan liar seperti Harimau Malaya memerlukan roaming area yang sangat luas.

“Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya yang bermasalah adalah manusia kerana habitat harimau ini adalah hutan rimba tetapi kita sudah (beri) lesen, tebang, tebas hutan jadi makanya pengecilan hutan rimba ini membuatkan harimau keluar dari habitatnya bertembung dengan manusia.

“Seekor harimau dan binatang besar lain seperti gajah dan tapir memerlukan roaming area yang luas.

“Yang keduanya adalah rusa yang menjadi makanan kepada harimau ini juga boleh diancam kepupusan jika tidak dijaga kerana manusia juga turut memburu rusa  di situ terjadinya pertembungan.

“Sebenarnya kalau kita boleh berhenti daripada menebang dan menebas, membalak pokok-pokok, konservasi hutan diperluaskan jadi kita boleh memperbesarkan roaming area untuk harimau ini jadi ia tidak akan masuk ke tempat manusia,” jelasnya.

Wan Junaidi turut mengingatkan kepada orang awam supaya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) apabila bertembung dengan harimau mahu pun binatang liar yang lain.

“Apabila berjumpa dengan harimau yang masuk ke kampung, jangan ambil senapang atau pedang sendiri, berhubung dengan Perhilitan untuk bantuan kerana mereka mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk menangani masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Usaha pastikan Harimau Malaya tidak pupus jadi tumpuan Dewan Rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast