drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

JEMPOL – Seorang kontraktor ladang sawit kerugian RM99,855 selepas ditipu penawaran kerja menerusi Facebook, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 21 tahun itu melihat iklan tawaran kerja di Facebook dan kemudian berurusan dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp yang memintanya memuat turun aplikasi ‘Amazon Go’ dengan diberikan nama pengguna dan kata laluan.

“Lelaki itu perlu membeli barang yang diiklankan menerusi aplikasi tersebut serta membuat bayaran kepada ejen perkhidmatan pelanggan (customer service) menerusi WhatsApp di talian 01121783776.

“Setiap barangan dibeli perlu berurusan dengan ejen Customer Service tersebut dan bayaran dilakukan ke akaun-akaun yang telah dinyatakan oleh ejen berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata lelaki tersebut turut meminjam duit daripada kakaknya RM25,000 dan selebihnya menggunakan duit simpanan sendiri bagi melakukan pembayaran ke dalam beberapa akaun bank berbeza.

Hoo berkata lelaki itu perlu memasukkan wang ke dalam akaun bagi mencapai sasaran pesanan tersebut dan dia dijanjikan komisen serta wang dimasukkan itu akan dikembalikan semula.

Menurutnya, lelaki berkenaan membuat bayaran menerusi 24 transaksi pada hari sama hingga Isnin lepas ke dalam tiga akaun berbeza melibatkan jumlah RMRM99,855.

Hoo berkata mangsa kemudian membuat laporan polis semalam apabila menyedari setelah kesemua pembayaran dibuat, dia masih gagal mendapat wang komisen seperti dijanjikan serta diminta melakukan pembayaran.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati agar tidak mendedahkan data peribadi atau identiti diri kepada mana-mana individu serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati agar tidak mendedahkan data peribadi atau identiti diri kepada mana-mana individu terutama berurusan secara dalam talian dan tidak pernah bersemuka.

Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menyemak latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan, katanya.- BERNAMA