Datuk Rozali.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menafikan dakwaan pengusaha syarikat pembersihan swasta yang pihaknya mengenakan caj sebanyak RM70 bagi setiap satu tan sampah di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, caj itu hanya akan dikenakan terhadap sisa yang melebihi had maksimum untuk dibuang yang ditetapkan MBSP kepada setiap pengilang.

Kata beliau, premis perindustrian dibenarkan melupuskan sisa sebanyak 24 tan setahun atau dua tan sebulan secara percuma dan kandungan besar sampah industri itu terdiri daripada barangan yang boleh dikitar semula.

“Langkah itu selari dengan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Lestari yang akan dilaksanakan MBSP pada 1 Januari tahun depan dalam usaha mengekang peningkatan jumlah sampah. 

“Pelaksanaan itu dibuat kerana data menunjukkan penjanaan sampah industri meningkat dengan ketara, sekali gus memaksa satu tindakan diambil bagi menyelamatka alam sekitar sekiranya tapak pelupusan sampah di Pulau Burung penuh lebih awal daripada jangka hayatnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai pemasangan peranti penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan pelekat sistem Radio Frequency Identification (RFID), Rozali berkata, ia bagi mempercepatkan proses di jambatan timbang tapak pelupusan sampah.

“Melalui pelekat RFID tersebut, segala maklumat mengenai syarikat pengangkut sampah, kilang serta sumber sampah mudah untuk dikenal pasti dan kita juga tidak akan mengenakan sebarang caj sama ada secara ‘one-off’ atau bulanan untuk pemasangan ini. 

“Mewajibkan pemasangan GPS pula bertujuan memantau pergerakan lori sampah daripada membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan oleh MBSP dan juga dilakukan secara percuma dengan semua kos ditanggung oleh pihak MBSP. 

“Saya telah  mengarahkan operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung mengambil tindakan segera dan pemilik lori pengangkut sampah juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat tepat melalui saluran yang sepatutnya,” jelas Rozali.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemandu lori sampah mogok depan MBSP

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan lebih 100 syarikat pembersihan swasta mendakwa berdepan risiko terjejas operasi perniagaan susulan peningkatan caj pembuangan sampah di Pulau Burung yang bakal dinaikkan hampir 700 peratus oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Rata-rata mereka mendakwa caj baharu yang bakal dikenakan MBSP bukan saja tidak masuk akal malah membebankan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka. – MalaysiaGazette