BUKIT MERTAJAM – Lebih 100 syarikat pembersihan swasta mendakwa berdepan risiko terjejas operasi perniagaannya susulan peningkatan caj pembuangan sampah di Pulau Burung yang bakal dinaikkan hampir 700 peratus oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Rata-rata mereka mendakwa caj baharu yang bakal dikenakan MBSP bukan sahaja tidak masuk akal malah membebankan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Ketua Kebajikan Pemandu Lori Sampah Seberang Perai, Arif Ibrahim berkata, mereka sebelum ini mengenakan caj RM180 untuk memungut tiga tan sisa pepejal dari Bertam, Kepala Batas untuk dibuang di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal.
Jelasnya, MBSP pula akan mengenakan bayaran RM10 setiap kali mereka memasuki tapak pelupusan sampah itu berbanding RM20 bagi sehari sebelum ini.
“Bagaimanapun, MBSP kini bercadang untuk menaikkan kadar pembuangan sampah itu dengan mengenakan bayaran RM70 satu setiap satu tan sampah dibuang ke tapak pelupusan terbabit.
“Ini bermakna kami terpaksa mengenakan caj lebih tinggi iaitu antara RM400 hingga RM450 kepada pelanggan dan ini sekali gus menyebabkan kami mula dipandang serong oleh orang awam seakan-akan sengaja mahu mengenakan caj yang mahal.
“Ramai pertikaikan ia belum dilaksanakan kenapa nak kecoh tapi bagi kami ia perlu ditekankan sekarang sebelum pelaksanaan dibuat kerana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah melaksanakannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Ariff bersama dua pengusaha syarikat pembersihan swasta mengadakan bantahan secara aman di hadapan bangunan MBSP, hari ini.
Mereka bersama lebih 10 pemandu lori sampah mahu berkumpul bersama lori masing-masing dihadapkan bangunan tersebut bagi menyatakan bantahan namun ia dihalang pihak polis kerana bimbang akan menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh peserta.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kecewa terhadap MBSP yang didakwa gagal bertindak sedangkan isu itu sudah dibangkitkan sejak April lalu termasuk menghantar dua memorandum sebelum ini.
Selain isu kenaikan kadar pembuangan sampah, Arif turut mengetengahkan isu pemasangan peranti penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) di lori mereka.
Katanya, pemasangan GPS itu tidak perlu memandangkan kenderaan yang digunakan mereka milik persendirian selain mereka tidak mengutip sampah daripada mewakili pihak kerajaan.
“Kami kutip sisa pepejal dari kilang-kilang serta rumah saja itu pun bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan kami jadi tiada keperluan untuk memasang GPS.
“Selain itu, undang-undang apa yang MBSP guna pakai membolehkan mereka memasang GPS pada kenderaan milik persendirian?
“Malah, sekiranya enggan berbuat demikian kami dilarang meneruskan operasi seperti biasa termasuk tidak dibenarkan masuk ke kawasan pelupusan sampah,”kata Arif.
Tambah Arif, pemandu lori sampah juga berdepan risiko kemalangan di kawasan pelupusan sampah susulan keadaan persekitarannya didakwa membahayakan keselamatan pemandu.
“Tapak pelupusan sampah di Pulau Burung sangat teruk di mana kami berdepan risiko keselamatan nyawa selain kenderaan mengalami kerosakkan.
“Cermin lori saya pecah akibat batu tersangkut pada tayar sebelum melantun pada cermin manakala ada kejadian lori terbalik susulan keadaan jalan di tapak itu.
“Adakah pihak MBSP mahu kejadian hilang nyawa pemandu baru nak bertindak sedangkan kami bayar untuk masuk ke sana malah, orang awam membayar cukai pintu, tanah bagi kerajaan negeri melakukan kerja-kerja pengutipan dan pelupusan sampah,” tegas Arif. – MalaysiaGazette