Calon Perikatan Nasional N.15 Pengkalan Batu, Mohd Azrudin Mohd Idris beramah mesra bersama para media pada Majlis Makan Malam Bersama Media di Restoran Cendana, Alai Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

TELUK MAS – Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Azrudin Mohd Idris berjanji akan menyelesaikan isu banjir di kawasan yang ditandinginya dalam tempoh 100 hari sekiranya beliau diberi mandat oleh pengundi-pengundinya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, masalah banjir merupakan satu isu serius yang perlu diselesaikan segera kerana ia telah membelenggu rakyat di kebanyakan kawasan di Melaka.

“Insya Allah saya ada satu formula untuk menyelesaikan masalah banjir ini. Perkara ini tidaklah begitu sukar sebaliknya penyelenggaraan parit ini perlu dilakukan segera untuk diatasi.

“Saya yakin boleh menyelsaikan masalah ini dalam 100 hari selepas menang kalau diizinkan Allah S.W.T

“Daripada makluma balas yang diterima saluran pengaliran atau longkang yang tidak diselenggara menjadi punca banjir,” katanya pada sesi ramah mesra dan sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, salah satu cabaran utama yang akan diselesaikan adalah masalah tempat letak kereta di Hospital Melaka yang sempit dan menyesakkan.

Katanya, beliau berjanji akan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu kerana ia melibatkan isu keselamatan orang ramai.

“Disebabkan hospital ini terletak di kawasan DUN Pengkalan Batu dan di kawasanbandar saya jika diberi mandat sebagai ADUN bolehlah berbincang dengan pihak kementerian untuk selesaikan masalah ini.

“Saya dengar ada juga cadangan-cadangan telah diberikan untuk membuat temoat letak kenderaan bertingkat di hospital ini, ada juga yang kata rancangan membuat tempat letak kereta ini telahpun diluluskan tapi kita tak tahu sampai mana, ini kena semak,” ujarnya.

Sementara itu beliau mengingatkan, agar ahli-ahli politik menghentikan pertikaian politik dengan memberi tumpuan untuk membantu rakyat.

Katanya, sesetengah ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesuasahan rakyat yang terkesan akibat Covid-19 dan kedudukan ekonomi sebaliknya hanya memikirkan kepentingan sendiri seperti apa yang berlaku di Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast