Seorang lelaki maut manakala satu lagi tercedera akibat terjtuh dari buaian berpusing di fun fair berhampiran Balakong tengah malam tadi.Gambar ihsan IPD Kajang

KAJANG – Keseronokan seorang pengunjung warga tempatan di tapak pesta ria atau fun fair berakhir dengan tragedi apabila mati akibat terjatuh dari buaian berpusing itu.

Manakala seorang lagi rakannya pula tercedera dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pusat membeli belah terkemuka di Cheras Selatan, dekat Balakong dekat sini tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, polis telah menerima panggilan pukul 12.05 malam berhubung kejadian itu daripada seorang pekerja tapak pesta ria tersebut.

“Saksi memaklumkan terdapat dua lelaki tempatan yang juga pengunjung telah terjatuh dari buaian berpusing di lokasi tapak pesta ria itu.

“Salah seorang mangsa berusia 38 tahun disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak ambulans (Hospital Kajang) yang hadir di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera berumur 30-an telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada pihak tapak pesta ria dari segi aspek keselamatan ataupun daripada mangsa itu sendiri.

Setakat ini hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian tersebut.

“Kita telah membuka kertas siasatan dan telah mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.- MalaysiaGazette