Edisi kedua pewangi kereta Little Joe Harimau Malaya dilancarkan pagi tadi di Kelana Jaya. - Gambar ihsan FAM.

KUALA LUMPUR – Rakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga syarikat pewangi udara kereta, Little Joe Malaysia secara rasminya memperkenalkan produk Little Joe-Harimau Malaya kedua di Wisma FAM dekat sini hari ini.

Menjelang kejohanan berprestij Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadual berlangsung bulan depan, penyegar udara kereta edisi khas kedua Little Joe-Harimau Malaya ternyata menepati citarasa peminat bola sepak dan dijual di semua stesen minyak Petronas bermula hari ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya melihat kolaborasi bersama Little Joe Malaysia bakal menyuntik semangat serta memberikan inspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk memberikan yang terbaik pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura nanti.

“Komitmen yang telah dizahirkan oleh barisan penaja termasuk Little Joe perlulah dijadikan inspirasi kepada semua pemain kebangsaan yang akan mewakili negara untuk memberikan yang terbaik.

“Mewakili FAM serta skuad Harimau Malaya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Little Joe kerana mempercayai kemampuan serta kebolehan pemain-pemain kami.

“Besar harapan saya agar jalinan Kerjasama ini akan diteruskan di masa hadapan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata pada majlis pelancarannya di Wisma FAM Kelana Jaya pagi tadi.

Selain majlis pelancaran produk Little Joe-Harimau Malaya, FAM menandatangani perjanjian penajaan selepas ia ditunda pada Ogos lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi Little Joe Malaysia, Mohammad Shairadzi Shahar.

Ketua Pegawai Eksekutif Little Joe Malaysia, Mohamad Farhan Mohd Fawzi pula menyatakan kejayaan kolaborasi pertama pada 31 Ogos lalu amat menggalakkan seterusnya menjadi inspirasi kepada pihaknya melancarkan pewangi udara Little Joe-Harimau Malaya edisi kedua.

Menurutnya, impak positif daripada penjualan produk edisi pertama membuatkan pihaknya mahu meneruskan kolaborasi  bersama skuad kebangsaan.

“Menerusi produk edisi kedua ini, kami di Little Joe berharap sokongan penyokong skuad Harimau Malaya tidak pudar dan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain di Singapura nanti,” kata Farhan,” katanya.

Selain stesen minyak Petronas, peminat Harimau Malaya juga boleh mendapatkan pewangi udara Little Joe-Harimau Malaya ini di Shopee, Lazada, stesen minyak BHP terpilih dan dijangka memasuki pasaran AEON STORE, AEON BIG, & AL IKHSAN.- MalaysiaGazette