Calon PH N.28 Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir (kanan) bermesra dengan penduduk setempat ketika hadir makan tengahari di Warung Pak Ali, Sungai Rambai, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir daripada PKR yang bertanding kerusi DUN Sungai Rambai tidak mahu rakyat menilainya pada rupa semata-mata sebagai faktor untuk meraih undi.

Malah, calon termuda daripada 112 calon yang bertanding di 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini mahu pengundi Sungai Rambai menilainya pada tekad, kesungguhan dan keikhlasannya yang mahu menjaga kebajikan rakyat.

“Terima kasih…(dikatakan cantik) tapi saya harap pengundi nilailah Nana daripada tekad, kesungguhan dan keikhasana untuk sentiasa menjaga kebajikan rakyat Sungai Rambai.

“Tidaklah sekadar rupa untuk bertanding,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas meninjau kemudahan di Jeti Nelayan Anjung Batu di sini hari ini.

Calon PH N.28 Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir (tengah) bermesra dengan peniaga, Rosyati Badrun (kiri) ketika hadir makan tengahari di Warung Pak Ali, Sungai Rambai, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, tanggapan mengaitkannya bertanding untuk meraih undi berdasarkan personaliti semata-mata juga perlu diubah masyarakat.

Katanya, biarpun belum dapat membuktikan apa-apa pencapaian kerana merupakan calon baharu yang bertanding, itu bukanlah alasan untuk menidakkan peranannya dalam masyarakat.

“Sebenarnya, Nana memang dah terlibat dalam politik sejak sekolah menengah lagi kerana membesar dalam keluarga politik.

“Ayah Nana sendiri adalah Naib Ketua Cabang Keadilan Tangga Batu dan ayah juga mengusahakan kedai makan jadi sejak remaja Nana sudah banyak bergaul dengan masyarakat,” katanya.

Calon PH N.28 Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

Menurutnya, bagaimanapun bakatnya dalam bidang politik hanya menyerlah sejak setahun yang lalu apabila dilantik sebagai Ketua Srikandi Keadilan Melaka.

Pada PRN 20 November ini, mahasiswa universiti tempatan itu akan berdepan saingan empat penjuru dengan beberapa muka lama di DUN Sungai Rambai yang sebelum ini disandang Datuk Hasan Abd Rahman mewakili Barisan Nasional (BN) yang mendapat majoriti 1,669 undi.

Selain Farzana, calon lain adalah Muhammad Jefri Safry (PN-Bersatu), Nazatul Asyraf Md Dom(Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (BN-UMNO) – MalaysiaGazette