Idris Ahmad

PUTRAJAYA – Orang ramai terutama usahawan digalakkan menyertai Persidangan Halal Kebangsaan @Sidang Halal 2021 pada 23 November ini.

Ia akan diadakan di Blok D, Kompleks Islam Putrajaya.

Penganjuran Sidang Halal 2021 signifikan dengan hasrat kerajaan menjadikan pensijilan halal sebagai salah satu agenda penting  dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada industri yang terkesan disebabkan pandemik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, agenda pemulihan semula industri halal negara ini penting kerana industri berkenaan menjadi pemangkin kepada ketahanan ekonomi negara pasca Covid-19.

Beliau meyasarkan seramai 1, 000 orang dalam kalangan usahawan dan pemain industri di Malaysia menyertai program yang julung kali diadakan itu.

Menurut Idris, program yang berkonsepkan webinar itu merupakan kemuncak himpunan industri halal bersama JAKIM selepas beberapa siri persidangan meja bulat diadakan pada tahun ini.

Perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Serii Ismail Sabri Yaakob dan majlis perasmian penutup oleh Idris sendiri.

Antara pengisian sepanjang program itu adalah empat pembentangan dan satu  bual bicara  dengan tajuk menarik yang akan dikupas oleh wakil kementerian dan agensi serta tokoh industri dengan tema Halal Malaysia: Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Negara.

Selain webinar, menurut Idris, beberapa usahawan yang terpilih akan diberikan anugerah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi menghargai mereka yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjadikan sijil pengesahan halal Malaysia sebagai satu keutamaan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Menurutnya, dua dokumen iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysia Halal Management System (MHMS) 2020 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri semasa majlis perasmiannya nanti.

Kedua-dua dokumen itu merupakan dokumen utama dalam pelaksanaan pensijilan halal Malaysia selain Malaysia Standard yang menjadi rujukan dan panduan kepada pihak industri dan pihak berkuasa berwibawa di Malaysia.

Beliau berharap semua pihak yang terlibat berganding bahu untuk menjayakan platform strategik itu demi memacu negara menjadi industri halal bertaraf dunia.

Ia juga menjadi usaha untuk membuka ruang kolaborasi minda dan idea baharu yang lebih segar ke arah memperkasa pensijilan Halal Malaysia agar kekal relevan dan menjadi rujukan dunia, katanya.

Semua usahawan dan industri boleh menyertai Sidang Halal 2021 secara percuma melalui aplikasi Zoom, Facebook JAKIM dan Bahagian Hab Halal serta TV JAKIM yang akan menyiarkan program berkenaan secara langsung melalui saluran Youtube.

Program itu turut mengalu-alukan penyertaannya daripada ahli akademik dan pelajar universiti serta masyarakat umum yang berminat untuk menyertai  dengan memuat turun aplikasi SmartHalal ataupun pendaftaran melalui pautan ini https://smarthalal.com.my/halal21/ – MalaysiaGazette