Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech kepada pelajar sekolah dalam program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Management and Science University (MSU), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

Saint-Herblain (Perancis) – Syarikat pengeluar vaksin, Valneva akan membekalkan sehingga 60 juta dos vaksin VLA2001 kepada Suruhanjaya Eropah untuk tempoh dua tahun termasuk anggaran 27 juta dos pada tahun depan.

Perkembangan terkini itu diumumkan syarikat Perancis-Austria itu selepas EC meluluskan perjanjian yang berkaitan.

Di bawah terma perjanjian sekarang, EC mempunyai pilihan untuk menambah pembelian awal VLA2001 sehingga 60 juta dos pada tahun 2023.

Perjanjian itu akan dilaksanakan selepas penilaian terakhir selesai termasuk jumlah vaksin yang diperlukan oleh setiap negara anggota Kesatuan Eropah.

Pengumuman terbaharu ini ekoran rumusan perbincangan antara EC dan Valneva yang bermula awal tahun ini.

Penghantaran vaksin dijangka bermula April 2022 tertakluk kepada kelulusan Agensi Perubatan Eropah yang  akan memulakan penilaian VLA2001 dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Valneva Thomas Lingelbach berkata, pihaknya berterima kasih kepada EC atas sokongan dan teruja untuk membantu menyelesaikan masalah pandemik yang masih berterusan.

“Kami komited untuk memperkenalkan vaksin alternatif kepada pasaran secepat mungkin dan akan bekerja keras untuk merealisasikannya.

“Keputusan fasa ketiga mengesahkan kebaikan vaksin ‘tidak aktif’ kepada penerima sekaligus membantu usaha antarabangsa memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Valneva melaksanakan kajian fasa 3 bagi menunjukkan kelebihan vaksin VLA2001 terhadap daya tahan manusia berbanding dos suntikan AstraZeneca dalam melawan Covid-19.

Berbanding suntikan vaksin lain yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperkuat sistem imuniti bagi melawan Covid-19, vaksin versi Valneva pula mengguna pakai versi Covid-19 yang ‘tidak aktif’. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast