heart disease World Heart Day
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 akan diperluaskan kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas, ibu mengandung dan petugas barisan hadapan selain daripada petugas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah strategi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperluaskan pemberian dos penggalak untuk meningkatkan tahap imuniti dan daya tahanan terhadap jangkitan Covid-19.

Ujar beliau, Panel Pakar Perubatan KKM telah meneliti keberkesanan serta keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber.

“Hasilnya mendapati satu dos penggalak mampu meningkatkan tahap imuniti terhadap Covid-19, namun pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan regulatori dan kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat sama ada daripada jenis homologous atau heterologous dengan dos primer terakhir.

“Setakat ini hanya vaksin Comirnaty telah diberikan kelulusan sebagai dos penggalak secara homologous selepas tempoh enam bulan menerima dos primer manakala vaksin-vaksin lain dalam proses semakan oleh panel pakar dan regulatori,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, KKM akan terus memantau perkembangan Covid- 19 dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama akan meneruskan pemberian dos tambahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast