Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung isu banjir yang masih berlaku di Jalan P. Ramlee walaupun telah membelanjakan RM3.625 juta untuk projek tebatan banjir di kawasan tersebut.

Pengerusinya, Oh Tong Keong mendakwa, kerajaan negeri telah banyak menggunakan duit rakyat Pulau Pinang namun masalah banjir masih menghantui penduduk, sekali gus memberi impak kepada kehidupan mereka.

Kata beliau, Ketua Pengarah Kejuruteraan, P. Rajendran mengatakan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berusaha mencari dan mengenal pasti langkah untuk mengatasi masalah banjir dengan merangka projek tebatan banjir jangka pendek dan jangka panjang, namun masalah ini masih tidak dapat diselesaikan.

“Bukankah kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah pencegahan banjir di kawasan P. Ramlee, contohnya melebarkan dan mendalamkan sistem perparitan? Jadi mengapa isu banjir masih berlaku?

“Ini telah membuktikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak serius dalam mengatasi masalah banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, kerajaan negeri perlu menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji dan menyelesaikan masalah banjir kilat di negeri itu serta memperkasakan projek tebatan banjir.

“Memperkasakan projek tebaran banjir ini amat penting kerana banyak lagi kawasan selain Jalan P. Ramlee turut dinaiki air.

“Kerajaan negeri perlu mengkaji dengan teliti punca utama banjir yang kerap berlaku di Pulau Pinang supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” kata beliau.

Terdahulu, beberapa kawasan di sekitar George Town dinaiki air selepas hujan lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi.

Antara kawasan yang mengalami banjir kilat ialah Kampung Masjid Hashim Yahya, Jalan P Ramlee, Jalan Kuantan, Jalan Pintal Tali, Jalan Macalister, Lorong Ngah Aboo, Jalan Anson, Lebuh Mcnair, Lebuh Nanking, Lebuh Katz, Pasar Lebuh Cecil, Jalan Timah Simpang Kampung Jawa Lama, Lebuh Carnarvon, Lebuh Victoria dan Pengkalan Weld. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast