Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya semalam turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak COVID-19 agar mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak . Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter beliau menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (Kementerian Kesihatan) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif COVID-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baharu COVID-19 dicatatkan Khamis.

Sebelum itu, kes harian COVID-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehinggga semalam.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast