ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Lapan individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian dan mahjong di sebuah premis di Manjalara Kepong, di sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komissioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 6.30 petang oleh sepasukan polis daripada Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Katanya, hasil serbuan ke dalam premis itu mendapati seramai lapan individu dipercayai terlibat dalam perjudian.

“Tiga lelaki daripadanya disyaki terlibat dalam perjudian mahjong, empat lelaki dipercayai bermain perjudian dalam talian dan seorang lagi merupakan penganjur kegiatan perjudian mahjung dan perjudian dalam talian.

“Kesemua suspek diberkas berumur lingkungan 25 tahun hingga 62 tahun,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, kegiatan terbabit dipercayai telah beroperasi sejak seminggu lalu.

“Siasatan awal polis mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik sebuah premis perniagaan.

“Hasil tangkapan, pihak polis telah berjaya merampas pelbagai peralatan perjudian mahjong, komputer pelbagai jenama, modem komputer, buku catitan perniagaan dan juga wang tunai berjumlah RM4,636 disyaki hasil perjudian terbabit,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, ujarnya. – MalaysiaGazette