Jentera Wanita UMNO dan BN telah mencapai sebanyak 120 peratus persediaan pada PRN Melaka.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Selangor percaya lima  calon wanita Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan kepimpinan parti mengiktiraf peranan kaum Hawa.

Ketua penerangannya, Suhaila M Zin berkata, PRN Melaka memang menguji BN  untuk menterjemahkan keupayaan dengan memperkenalkan calon-calon wanita yang diakui hebat.

Beliau yang Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Raja percaya, kesemua calon itu mempunyai tiga kriteria yang digariskan oleh pucuk pimpinan iaitu calon “boleh menang” (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai atau disenangi (likeable) oleh pengundi Melaka.

“Kita perlu akui kesiapsiagaan jentera Wanita UMNO dan BN telah mencapai sebanyak 120 peratus persediaan termasuklah tumpuan kawasan-kawasan yang perlu diberi penekanan yang rapi bagi memastikan kemenangan secara menyeluruh dan majoriti bagi PRN Melaka kali ini.

“Dengan kesiapsiagaan Wanita UMNO dan BN, kita secara holistik dengan memperbagaikan inisiatif dan komitmen kita dalam mengerakkan jentera kempen melalui media sosial diyakini kita mampu mempertahankan Barisan Nasional sebagai Kerajaan pilihan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaila turut berharap kesemua jentera BN perlulah mematuhi prosedur operasi standard bagi pencegahan Covid-19 sepanjang PRN Melaka. – MalaysiaGazette