Danny Fenster telah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Yangon pada Mei.- Foto Reuters.

MYANMAR – Mahkamah Tentera Myanmar menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kepada wartawan Amerika Syarikat (AS),  Danny Fenster atas kesalahan manggar undang-undang imigresen.

Tertuduh juga didapati bersalah atas pergaulan yang menyalahi undang-undang dan menggalakkan perbezaan pendapat terhadap tentera.

Beliau pada awal minggu ini dikenakan dua pertuduhan tambahan iaitu hasutan dan keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Perbicaraan ke atas pertuduhan baharu itu akan bermula pada 16 November ini.

Fenster, 37, merupakan editor pengurusan laman web dalam talian Frontier Myanmar telah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Yangon pada Mei lalu.

Beliau merupakan salah seorang daripada berpuluh-puluh wartawan yang telah ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu.

Menurut Frontier, Fenster sebelum ini bekerja untuk Myanmar Now, sebuah laman berita bebas yang mengkritik tentera sejak rampasan kuasa.

Pertuduhan itu semua berdasarkan dakwaan bahawa dia bekerja untuk media Myanmar Now.

Fenster meletakkan jawatan dari Myanmar Now pada Julai 2020 dan menyertai Frontier pada bulan berikutnya dan semasa ditahan, beliau bekerja dengan Frontier selama lebih sembilan bulan.

Hukumannya ke atas Fenster dibuat beberapa bulan selepas seorang wartawan bebas dari Jepun ditangkap di Myanmar dan didakwa menyebarkan berita palsu.

Yuki Kitazumi yang melaporkan untuk kebanyakan saluran berita utama Jepun merupakan salah seorang daripada beberapa wartawan asing di Myanmar.

Pihak berkuasa Myanmar mengekalkan pertuduhan Kitazumi atas kesalahan melanggar undang-undang tetapi membebaskannya atas permintaan kerajaan Jepun.

Sementara itu, AS juga mendesak kerajaan tentera itu untuk membebaskan Fenster tetapi seorang jurucakap tentera menegaskan tertuduh perlu ditahan dalam tahanan.

Dalam satu kenyataan sebelum itu, Jabatan Negara AS berpendapat penahanan Febster tidak adil dan penasihat kanan di Crisis Group Myanmar, Richard Horsey pula menyifatkan hukuman itu sebagai keterlaluan.

Beliau menambah, diplomat AS sedang berusaha untuk membebaskan Fenster tetapi menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan itu merupakan satu halangan besar kepada usaha pihaknya.- BBC News

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast