Tapak taman hiburan (fun fair) berhampiran dengan pusat beli-belah di Cheras Selatan, Balakong dekat sini diarah menghentikan operasi secara serta-merta.

KUALA LUMPUR – Tapak taman hiburan (fun fair) berhampiran dengan pusat beli-belah di Cheras Selatan, Balakong dekat sini diarah menghentikan operasi secara serta-merta.

Ia susulan insiden seorang pengunjung yang maut selepas terjatuh dari permainan roda ferris.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dalam kejadian pada Rabu lalu.

Pengarah JKKP Selangor, Bahrudin Mamat berkata, pihaknya telah mengarahkan sepasukan pegawai untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang pengunjung yang menaiki roda ferris bersama seorang lagi pengunjung yang berada di cab sama sebelum mangsa didapati terjatuh dari ketinggian lebih kurang lapan meter.

“Susulan daripada siasatan awal yang telah dijalankan, JKKP Selangor telah mengeluarkan lima Pemberitahuan Larangan di bawah Seksyen 19 (2) Akta Kilang Dan Jentera 1967 bagi menghentikan operasi ke atas lima unit alat permainan dan satu Notis Larangan di bawah Seksyen 48 (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Ia dikeluarkan berikutan kegagalan pihak operator menjalankan penaksiran risiko bagi semua aktiviti yang dijalankan di dalam kawasan taman hiburan tersebut yang boleh mengakibatkan risiko kepada pekerja dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Bahrudin berkata, JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah akta berkaitan.

Katanya lagi, JKKP sentiasa memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahu pun orang awam.

“Operator mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di taman hiburan dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di taman hiburan, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum menjalankan operasi,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengunjung lelaki maut setelah terjatuh dari roda ferris di sebuah tapak fun fair di Cheras Selatan pada Rabu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu yang merupakan pemilik ‘fun fair’ berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast